Sunday 27 June 2021

Pengalamanku Dijangkiti Covid-19 STAGE 4 (3/6/2021 - 18/6/2021)

 Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

03/06/2021 (Khamis)

Pada 3/6/2021 Khamis, aku tiba-tiba merasa seram sejuk, badan menggigil & peningkatan suhu sehingga 38.2 Celcius Degree. Kebetulan masa tu aku masuk office jap nak settlekan kerja sikit. Setelah rasa lain macam tu, aku segera keluar dari office dan turun ke kedai runcit bawah office & beli panadol dan makanan2 lain yang aku rasa dapat membantu (air badak untuk turunkan suhu badan etc). Aku merasa sesak nafas yang teruk dan pening kepala, serius rasa teruk, nak memandu pun rasa susah.

Suhu 38.2c, simptom awal yang aku alami, masa ni di office sorang2 je

04/06/2021 (Jumaat)

Demam semakin teruk, nafas semakin tersekat2, aku pun ambil keputusan untuk ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Bila sampai ke klinik, nurse check suhu 38 C, doktor tak berani nak jumpa, dia suruh datang kembali petang pukul 4pm hari yang sama untuk swab RTK. Keputusan RTK cuma ambil masa sejam lebih je, dan keputusannya adalah positif seperti yang dijangka. Aku pun segera beli makanan dan lain2 lalu pulang ke rumah. Aku tau salah tapi aku perlukan makanan. 

05/06/2021 (Sabtu)

Rakan aku, Atiqah (agent insurans aku juga) menghubungi aku dan risau akan keadaan aku. Dia menghubungi Hospital Port Dickson memaklumkan keadaan aku yang lemah dan sesak nafas dan meminta Ambulans untuk mengambil aku ke hospital dengan segera. Dalam pukul 2-3pm, ambulans tiba di depan rumah dan segera membawa aku ke HPD. Di sana aku diambil sampel darah, drip IV, scan paru2 dan ujian swab PCR dilakukan. Ujian PCR mengambil masa 1-2 hari untuk dimaklumkan jawapannya.

Hujan lebat ketika dijemput ambulans, rasa sedih sikit, mana tau tak balik2 sini dah

PCR test, IV dimasukkan sebab aku diarrhea dan kurang makan

06/06/2021 (Ahad)

Aku hanya terbaring di rumah, tak boleh ke kedai untuk membeli makanan, nasib baik adik aku bantu order makanan secara online (Foodpanda, McDelivery dll), Atiqah pun ada tolong orderkan sekali.

Jumpa mashed potato ni kat 7e, boleh la telan, masa ni selera makan dah teruk

07/06/2021 (Isnin) 

Pihak hospital menghubungi aku memaklumkan keputusan ujian PCR adalah positif dan meminta aku packing sedikit baju dan keperluan lain untuk dibawa ke Hospital Seremban (Tuanku Ja'afar) untuk rawatan dan kuarantin. 

Sesampainya di Hospital Seremban, tunggu lama kat bawah, nak clearkan katil kot

Suasana di HTJ masa ni agak tenang, yelah dah tengah malam kan, pesakit pun masih kurang, tak macam sekarang kes berbelas ribu


8/6/2021 (Selasa)

Dalam pukul 8pm, Ambulans pun tiba. Maka bermulalah perjalanan perjuangan aku menentang virus Covid-19 durjana di hospital. Aku telah didiagnose pada peringkat ini berada di Stage 2B, kiranya masih di peringkat awal dan tak kritikal.

Hari-hari yang mendatang di Hospital Seremban terasa sungguh panjang. Pesakit keluar dan masuk, wad sentiasa penuh,  pesakit sekeliling batuk2 dan muntah2 adalah perkara biasa. Keadaan aku? Aku rasa semakin tak sihat. Nafas semakin tersekat-sekat terutama bila mahu ke tandas untuk mandi mahupun buang air. Tak tau sebab apa rasa semakin teruk. 

Tiada pelawat yang dibenarkan melawat. Walaupun ramai pesakit, aku terasa keseorangan. Kena kuat.

Pakcik Cina sebelah ni sampai esok harinya, sepanjang hari tidur


9/6/2021 (Rabu)

Di HTJ, kelengkapan memang agak lengkap. Ada tempat solat, sejadah pun banyak. Tandas yang bersih. Setiap hari air panas disediakan untuk pesakit ambil minum. Aku ambil peluang setiap hari untuk berjalan ke tempat solat dan ambil air sendiri supaya badan terus bergerak dan tidak hanya terperap terbaring di katil. Aku tau aku perlu ada ikhtiar sendiri. Tiada keluarga mahupun rakan yang ada melawat. Sendiri kena kuat.

Ketika aku sedang tidur-tidur ayam di HTJ sekitar waktu Zohor, nurse datang mengejutkan aku memberitahu aku boleh discharge ke pusat kuarantin di PD (PKPD). Aku rasa agak lega jugak, dan dalam masa sama pelik sikit la sebab aku rasa masih kurang sihat tapi doktor lebih tahu keadaan aku berdasarkan keputusan result darah dan sebagainya. Aku segera berkemas dan menunggu. Ada tiga orang semuanya yang dihantar ke PKPD. 

Sepanjang perjalanan kami diiringi oleh kereta peronda polis sehingga ke PKPD
 
Setibanya di PKPD, gelang putih hospital akan dipotong di sini digantikan dgn gelang baru

Di PKPD, ujian dilakukan sekali lagi oleh staf perubatan di sana. Tekanan darah, Oksigen aku okay, cuma heart rate aku sangat tinggi melebihi 100-120. Doktor di situ sangat risau, dia menyuruh aku naik dan turun tangga sebelum kembali mengambil bacaan. Result masih tak berubah. Aku tak dibenarkan kuarantin di situ, sebaliknya ambulans sekali lagi dipanggil untuk aku dipindahkan ke Hospital Tampin.

Aku disuruh memakai Oksigen ketika menunggu ambulans di PKPD untuk dihantar ke Hosp. Tampin

Ambulans dah tiba untuk ke Hosp. Tampin

Lama juga tunggu sampai 11.30pm baru ambulans sampai dan menghantar aku ke Hospital Tampin yang mengambil masa dalam sejam setengah untuk sampai ke destinasi dari Port Dickson.

10/6/2021 (Khamis) 

Sekali dua gelang putih dia letak, satu dari PKPD, satu Hospital Tampin

Hospital Tampin adalah destinasi hospital terakhir untuk aku. Di sini bagi aku agak selesa dan rawatan adalah lebih teratur. Pesakit tetap ramai tapi disusun rapi. Toilet share untuk 8 - 10 orang tapi tetap mencukupi dan dilengkapi air panas jugak. Minuman di pantri disediakan (milo, kopi, teh etc), kalau larat buat sendiri memang dibenarkan buat. 

Doktor suruh pakai oksigen sebab paras oksigen aku sangat rendah

Keadaan aku ketika mula-mula masuk adalah agak teruk. Sesak nafas semakin teruk, nak ke tandas pun terasa sangat sukar sebab nafas yang tersangkut-sangkut. Tahap Oksigen aku masa tu adalah kurang dari 93-94. Bacaan yang bagus kata doktor adalah 95-96 ke atas. Sudah puas tarik nafas tapi masih gagal untuk mendapatkan bacaan Oksigen yang bagus. Doktor menyarankan aku tidur secara meniarap untuk meningkatkan bacaan Oksigen. Maksudnya, tidur secara terbalik ke bawah.

Sambil baring meniarap, oksigen dalam 10L sebab paras oksigen aku semakin teruk

Doktor kata, aku adalah stage 4, dan jika keadaan aku ni dihidapi oleh pesakit yang lebih berusia, memang harapan untuk selamat adalah sangat tipis. Tapi semasa di hospital kami tak diberitahu semua info ini, mungkin tak mahu emosi dan semangat kami terganggu. Cuma ahli keluarga saja yang dimaklumkan. Semasa video call pun family tak sebut pasal semua ni. Tergamam aku selepas keluar dari hospital dan diberitahu lebih detail pasal keadaan aku masa tu. Alhamdulillah diberi kekuatan untuk sembuh.

Bacaan tekanan darah adalah normal, manakala heart rate masih sangat tinggi. Setiap pagi, rutin yang sama akan dilakukan. Nurse akan datang untuk bagi ubat, ambil bacaan gula, cucuk di bahagian perut untuk ubat cairkan darah, dan ambil sampel darah dari pelipat tangan. Ubat yang diberi agak banyak juga, steroid dan ubat untuk paru-paru juga. 

Semasa video call dengan mak, tak mampu bercakap masa ni

X-ray paru-paru juga diambil beberapa kali dan ujian jantung juga diambil, tak silap aku dua tiga kali jugak, mungkin untuk mengetahui punca heart rate aku tinggi. 

Doktor mulakan tahap oksigen aku dengan 8-10 liter dan diturunkan sehingga 5L dan 3L. 

11/6/2021 (Jumaat)

Setiap hari rutin adalah sama saja. Nurse akan datang setiap hari untuk memberi ubat, ambil sampel darah, ambil bacaan tekanan darah, oksigen dan heart rate. Aku sangat respect dengan petugas kesihatan, berpeluh setiap hari dengan pakaian PPE mereka, tetap kuat dan pantas bekerja merawat pesakit. Mesra pun mesra juga, tak ada sedikit pun marah2. Respect betul. 

Makanan yang dihidang juga sedap2. Walaupun mula2 selera makan aku ke laut, aku cuba juga sumbat beberapa suap ke dalam kerongkong tekak aku ni. Kalau tak doktor kena masukkan air IV ikut tangan tu, sakit nak kena cucuk lagi. 

Makanan dihidang dalam 5 kali sehari, breakfast, lunch, minum petang, dinner dan supper. 

14/6/2021 (Isnin)

Atas cadangan doktor dan nurse, aku telah minta tolong rakan office aku untuk belikan satu alat senaman khas untuk paru-paru dari farmasi di luar. Caranya mudah saja, cuma perlu sedut paip tu sehingga ketiga-tiga bola naik ke atas. Maksudnya perlu melatih keupayaan paru-paru lah. Harga boleh tahan dalam RM40 lebih, aku order sekali dengan air manis, jadi aku genapkan RM50 untuk upah rakan tu. 

Alat untuk melatih paru-paru

Selera makan aku dah bertambah baik, aku rasa keadaan badan aku adalah semakin sihat dan bertambah pulih. Makanan yang diberi aku rasa semakin tak cukup. Jadi, kadang2 aku akan minta makanan lebih dari nurse jika ada. Perut lapar. 

18/6/2021 (Jumaat)

Hari Jumaat yang barakah, penghulu segala hari, berjalan seperti hari-hari yang biasa juga. Doktor datang round pagi tu, memberitahu aku mungkin aku akan discharge dalam masa terdekat, memandangkan kadar kesembuhan aku adalah agak baik. Kuman di dalam darah juga sudah tiada katanya. Aku gembira dan lega.

Malam, jam 10 pm, aku di dalam toilet sedang membuang, sorang member patient pakcik Cina yang akan discharge juga malam tu masuk toilet dan panggil aku mengatakan nurse terjerit2 mencari aku. Nurse kata aku dah boleh keluar malam tu. Aku tercengang. Bungkusan bekalan ubat diberi, dan dia tanya ada sesiapa boleh ambil ke? Aku kata tiada. Kalau esok pagi boleh la aku ikhtiar untuk pulang sendiri. Dia kata okay.

Pemandangan biasa ketika nak pergi buat air milo di pantri, hujung sana adalah surau

Tiba-tiba dia panggil lagi, katanya ada ambulans yang akan datang, boleh hantar aku ke Springhill ke rumah sewa aku. Aku terus kata okay, sebab confirm boleh jimat duit balik ke sana. Aku segera packing dan solat Isyak dan sujud syukur. Tak lama kemudian, ambulans pun tiba dan tunggu aku di luar. Kali ni diorang (driver & doktor) tak pakai pun PPE sebab mungkin aku dah diyakini bebas dari virus Covid-19, berbeza semasa aku diangkut ke Hospital masa mula-mula masuk.

Selamat tinggal Wad Kenanga 1B, kenangan 2 minggu di sini 😢

Perjalanan sejam setengah, terasa begitu singkat. Roadbloack yang dilalui tak terkira banyaknya. Akhirnya, tiba di rumah sewa di Springhill. Aku ucapkan terima kasih banyak2 kepada mereka kerana sudi hantar sampai ke rumah. 

Perjalanan pulang ke Springhill, dalam ambulans, tenang

Bukan selalu boleh naik ambulans 

Perlahan-lahan aku masuk ke rumah. Bilik aku di tingkat atas, terasa sungguh sukar untuk naik tangga ke tingkat satu rumah, otot2 kaki terasa sungguh lemah. Aku tau ini adalah kerana terlalu lama badan aku dalam keadaan lemah, hari2 makan ubat, banyak baring, sesak nafas dan kurang bergerak. Otot2 semakin mengecut dan lemah. Nasib baik keadaan bilik agak baik kerana aku sempat kemas sebelum ke hospital tempoh hari. 

Keadaan kereta juga masih baik, jadi masih bernasib baik untuk aku ke kedai membeli makanan untuk esok harinya. 

Pengalaman banyak mengajar aku akan nilai sebuah kesihatan, bila dah sakit, baru nak terasa menyesal bagai. Baru nak ingat kematian, dosa dan sebagainya. Terasa kerdil diri ni. Sampai sekarang masih terasa kesan virus ni kat badan aku, terutama di bahagian pernafasan, paru-paru. 

Jangan ambil mudah SOP. Aku akui aku agak mengambil mudah soal SOP semasa bekerja sebelum ni.

Jadi, begitulah ceritera aku, seorang bekas pesakit Covid-19 Stage 4, Alhamdulillah aku survive. Terima kasih atas doa-doa semua yang mengambil berat, hanya Allah yang boleh membalas jasa kalian. 

Doa untuk kuat semangat dan jangan putus asa

Kepada mereka yang sedang berjuang menentang Covid-19, aku faham perasaan korang. Ikutlah pesan dan nasihat doctor/ nurse. Amalkan tidur meniarap tu untuk naikkan Oxygen level korang, jangan skip ubat, cuba berjalan2 untuk elakkan otot semakin lemah, dan paksa diri untuk makan walaupun selera makan dah ke laut. 

Selebihnya, bertawakal lah, kita dah berusaha untuk sembuh. Jangan berhenti berdoa. 

Assalamualaikum semua.

Selamat malam.




No comments:

Post a Comment

Thank you :) Feel free to leave your comment here!

Travel Eropah 2020 #Part2

Salam, Setibanya di Berlin, kami terus menuju ke Citystay Hostel Berlin Mitte, hostel yang lokasinya betul2 sangat hampir dengan Menara T...